Jom kita sembang-sembang..


widget sembang percuma @ ShoutMix

Tuesday 26 August 2008

Benar kah Bandar Keningau, Sabah lengang selepas operasi menangkap PATI dilancarkan?

Baru-baru ini terdapat laporan berita bercetak akhbar tempatan di negeri ini yang mengatakan pekan (bandar) Keningau lengang selepas operasi. Benar kah Bandar Keningau, Sabah lengang selepas operasi menangkap PATI dilancarkan? Saya kira laporan beberapa akhbar tempatan di negeri ini mengenai suasana yang kononnya Bandar Keningau berkeadaan lengang selepas pihak berwajib memulakan operasi menangkap PATI (Pendatang Asing Tanpa Izin) di negeri Sabah baru-baru ini, mungkin hanyalah bersifat sementara. Lihat sahaja gambar-gambar yang saya ambil dalam kiriman ini. Gambar-gambar ini diambil pada tarikh 28 Ogos 2008. Menurut pengamatan saya, keadaan di bandar Keningau dan tempat-tempat lain di Sabah juga tidak banyak atau tidak jauh berbeza suasananya. Ini kerana di sana-sini, “peniaga-peniaga jalanan” dan “peniaga gelandangan” yang terdiri daripada warga asing, khasnya dari Filipina dan Indonesia masih bebas dan begitu berani menjajakan pelbagai barangan seperti rokok-rokok seludup, barangan berjenama tiruan (kaca mata, tali pinggang, dompet, jam tangan dan lain-lain) dan VCD/DVD cetak rompak (termasuklah VCD/DVD lucah..).
Entah di mana silapnya? Seolah-olah amaran dan tindakan bersepadu pihak berkuasa yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan operasi dan kempen membanteras PATI ini langsung tidak memberi kesan kepada sasaran. Mungkin kah pelaksanaan operasi ini “tidak cukup sepadunya” sehinggakan ramai yang lolos dan terlepas. Segelintir PATI dengan sinis berani mengatakan operasi ini tidak ubah “macam tikus dan kucing main sorok-sorok”. Kucing berjaga, tikus sembunyi. Kucing tidur, tikus mula menari.
Jika benar keadaannya seperti ini, maka pihak berkuasa yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan operasi ini haruslah memperbaiki strategi dengan lebih drastik lagi supaya kesannya lebih jitu. Mungkin jumlah pihak penguat kuasa dalam setiap operasi perlu ditambah lagi, dan sebaik-baiknya di jalankan secara serentak di seluruh wilayah/daerah. Jika tidak, apa yang berlaku ialah, para PATI akan sempat “menikus” dari satu wilayah ke satu wilayah yang lain bagi mengelakkan diri dicekup pihak penguat kuasa. Bentuk muka bumi negeri Sabah yang luas dan berhutan belantara sememangnya memberi kelebihan kepada PATI untuk bersembunyi.
Namun apa yang menjadi masalah besar dalam operasi ini ialah, kebanyakan PATI di negeri ini kini telah menukar status mereka kepada PADI (Pendatang Asing “Dengan Izin”) sama ada melalui saluran sah ataupun tidak sah. Yang saya maksudkan dengan saluran sah ialah, kejayaan ramai PATI memiliki dokumen kerakyatan Malaysia akibat daripada perbuatan khianat segelintir kakitangan awam kerajaan yang tamak, rakus, suka mengambil kesempatan dan tidak bertanggungjawab terhadap amanah yang diberi oleh kerajaan. Begitu juga dengan kegagalan rakyat Malaysia melaporkan perihal kehilangan dokumen pengenalan diri mereka dalam tempoh yang sepatutnya kepada pihak berkuasa, menambah lagi peluang PATI untuk bermaharajalela di negeri ini.
Pemerolehan status kerakyatan secara tidak sah adalah yang paling sukar dikesan sebenarnya. Ini kerana banyak sindiket pemalsuan dokumen pengenalan diri Malaysia yang beroperasi di negara Malaysia dan juga yang beroperasi di negara jiran. Membanteras sindiket pemalsuan yang beroperasi di negara ini mungkin boleh ditangani, namun apa yang boleh kerajaan lakukan terhadap sindiket yang beroperasi di negara jiran? Kecualilah kerajaan Malaysia mendapat kerjasama 100% dari kerajaan di negara berkenaan, barulah (mungkin..) pengedaran dokumen pengenalan diri palsu ini dapat ditangani. Pihak penguat kuasa sendiri juga kadangkala menghadapi kesukaran untuk mengesan dan membezakan yang mana palsu dan yang mana asli. Saya kira kekurangan peralatan yang bersesuaian (dari segi penggunaannya) di seluruh negara untuk tujuan pengesanan adalah antara sebabnya mengapa pihak PATI kini semakin berani menggunakan dokumen-dokumen pengenalan diri palsu. Melalui laporan siri operasi membanteras PATI yang dibuat TV3 sendiri, dapat dilihat buktinya bahawa kesahihan status pengenalan diri PATI yang ditangkap tidak dapat dipastikan secara serta-merta.
Biasanya hanya dapat dibuat pengesahan oleh pihak berkuasa setelah PATI itu dibawa ke balai atau pusat tahanan sementara, dan setelah menghubungi pihak Jabatan Pendaftaran Negara. Alangkah baiknya jika kita memiliki alat yang lebih canggih, iaitu yang mungkin dapat menentukan status keaslian dokumen serta-merta.
Ini akan mengurangkan risiko melepaskan PATI ketika operasi atas sebab si PATI itu fasih berbahasa tempatan, mahir memanipulasi dan menggunakan nama-nama individu tertentu untuk meyakinkan status keaslian dokumen yang dibawanya. Maklumlah... semakin ramai PATI yang telah menguasai bahasa ibunda kaum-kaum bumiputera di negeri ini. Malah ramai di antara mereka yang menguasai bahasa tempatan bak kata pepatah “lebih manis dari gulanya”. Masalah ini jugalah yang kadangkala turut menyebabkan masalah besar pula kepada penduduk tempatan yang benar-benar “asli” jika tercekup ketika ada operasi dijalankan oleh pihak berkuasa. Terdapat penguat kuasa yang sedar akan kemampuan PATI berbahasa tempatan, lalu mengundang waswas akan status orang yang ditangkapnya dan seterusnya menjadi “paranoid”. Akhirnya jalan yang paling mudah diambil ialah “tangkap semuanya dan bebaskan kemudian”.
Seperkara lagi yang amat merunsingkan saya ialah, banyak dakwaan yang mengatakan terdapat pihak tertentu yang bertindak sebagai “malaikat pelindung” kepada PATI, atas kepentingan tertentu. Mereka yang dimaksudkan ini sama ada dari kalangan penguat kuasa undang-undang, pemimpin politik, ketua-ketua kampung ataupun “tauke-tauke” kaya raya yang ada di sekitar negeri ini. Sama ada benar atau tidak dakwaan ini, ia tidak sepatutnya dipandang sepi. Malah mungkin perlu disiasat secara serius dan setelus-telusnya agar tidak ada yang terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang begitu sahaja.
Mengikut pengalaman saya sendiri, mungkin ada benarnya dakwaan tersebut. Saya pernah melihat sekumpulan penjual rokok seludup jalanan warga Filipina yang lari bertempiaran apabila dihampiri oleh sekumpulan penguat kuasa PBT daerah Keningau. Yang menghairankan saya ialah kumpulan penjual rokok berkenaan bergegas memasuki sebuah kedai runcit tanpa dihalang pun oleh si “tauke” kedai runcit berkenaan. Kumpulan penjual rokok itu kemudiannya keluar semula dengan selamba dari kedai runcit berkenaan tanpa membawa apa-apa barangan jualan yang sebelum ini ada bersama mereka. Apabila kumpulan pegawai penguat kuasa itu beredar semula tanpa hasil rampasan, maka kumpulan penjual rokok itu kemudiannya memasuki semula premis berkenaan dan keluar semula dengan kotak-kotak rokok di tangan. Dan seperti biasa, si “tauke” kedai itu menampilkan reaksi seolah-olah tiada apa-apa yang telah berlaku.
Saya yakin dalam hal menjayakan operasi membersihkan Sabah daripada kebanjiran PATI, perlu ada kerjasama daripada semua pihak. Mungkin langkah-langkah berikut perlu diambil oleh kita semua:
  1. Operasi perlu lebih bersepadu antara pihak Polis, Tentera, PBT, Kerajaan Negeri, dan pasukan-pasukan sukarela, termasuk penduduk kampung dan bandar sendiri.
  2. Pelaksanaan operasi seboleh-bolehnya hendaklah dijalankan serentak di semua daerah ataupun wilayah.
  3. Kawalan ketat 24 jam di setiap laluan utama antara daerah atau wilayah di seluruh negeri.
  4. Asingkan pihak NGO (yang kononnya takut akan berlaku pencabulan hak asasi manusia ke atas individu yang ditangkap) daripada menyertai operasi penangkapan kerana ini menyukarkan pihak berkuasa bertindak secara profesional. Peranan NGO biarlah bertumpu kepada bahagian pelaksanaan operasi yang lain seperti di pusat-pusat tahanan.
  5. Pegawai-pegawai yang ditugaskan untuk mengendalikan operasi perlulah sentiasa ditukar ganti pada kadar yang wajar bagi mengurangkan kemungkinan berlaku “kebocoran” maklumat operasi.
  6. Menugaskan hanya pegawai-pegawai penguat kuasa yang benar-benar faham akan matlamat setiap operasi serta bersemangat patriotisme yang tinggi dan tulin sahaja bagi mengurangkan tindakan-tindakan tidak profesional ketika menjalankan tugas.
  7. Meningkatkan risikan rapi ke atas pergerakan PATI serta kumpulan-kumpulan atau individu yang disyaki bertindak melindungi PATI sebelum operasi, agar kedua-dua pihak akhirnya akan dapat sama-sama didakwa dan dikenakan hukuman.
  8. Taktik pelaksanaan operasi ditukar dari semasa ke semasa serta penambahbaikan.
  9. Pihak berwajib khasnya PBT perlu sentiasa mengedepankan kepentingan dan masa depan sosial, ekonomi dan politik penduduk-penduduk tempatan, berbanding kepentingan status, nama dan kepentingan peribadi yang lain.
  10. Pihak berwajib perlu menyediakan statistik dan kajian keberkesanan secara berterusan ke atas tindakan-tindakan yang telah diambil, agar ada maklumat panduan ke arah penambahbaikan di masa akan datang.
  11. Penduduk tempatan pula perlu berhenti membantu PATI dengan apa cara sekalipun, seperti menghentikan tabiat membeli barangan dan perkhidmatan daripada peniaga-peniaga haram jalanan PATI. Atasi sikap acuh tidak acuh ataupun perikemanusiaan tinggi yang tidak bertempat, dengan memikirkan faedah jangka panjang masa depan anak-anak bangsa negeri Sabah.
  12. Setiap anggota penguat kuasa, Kerajaan Negeri, Parti-parti politik, PBT dan para penduduk sah di bumi Sabah perlu menyedari bahawa usaha ini senantiasa memerlukan kerjasama yang jitu, agar jutaan wang rakyat (yang sangat besar jumlahnya...)yang dibelanjakan kerajaan untuk operasi ini tidak terbazir begitu sahaja. Apa yang saya nyatakan pada kiriman ini hanyalah saranan dan pandangan ikhlas semata-mata, dan terserahlah kepada kita semua untuk memikir, menimbang dan mengambil mana-mana yang jernih serta positif, demi masa depan rakyat Malaysia di negeri Sabah ini. BENTARA SAKTI

1 comment:

  1. Selamat malam MS, saya kira saya adalah ratusan masyarakat pribumi yang seia sekata dengan pendapat MS. Mungkin keterlaluan jika saya katakan bahawa saya lebih bangga menjadi rakyat Sarawak dari Negeri kesayanganku ini.Saya mempunyai alasan mengapa berpendapat demikian dan itu adalah hak saya sebagai anak bumi merdeka dari Barat ini(tpi terjajah olh PATI dan pegangan politik yang cetek). Apa tidaknya, di mana-mana bandar dan pekan di negeri ini pasti ada sahaja kawan2 dari negara jiran yang tidak diundag hadirnya. Apa yang menyedihkan adakalanya kita pula yang jadi pendatang di kawasan mereka. Mungkin tidak semua anak pribumi sabah yg pernah pergi ke bandar seperti Tawau, Lahad Datu, Semporna,Sandakan ,Keningau, K.Kinabalu..malah di pekan-pekan kecil sekalipun seperti Tamparuli,Tenom, Kota Marudu..Ranau. Semuanya sudah ditawan oleh warga asing khsnya Bandar Tawau,Lahad Datu dan Sandakan(yang ini yg saya pasti bangat).Bukan sekadar di kota malah di kampung2 tlh ada yang menjadi menantu,biras,ipar dan yang sewaktunya dengan orang kampung,kalau bukan dengan K.Kampung, dengan JKKK,OKK dan yg sekata dengannya. Saya telah perhatikan ini boleh dikatakan berlaku di setiap kg di negeri ini. Benarlah seperti kata MS tanpa kerjasma semua pihak sampai bila2pun mslh ini tak akan ada penghujungnya.Apa yang memilukan PATI ini lebih baik tahap sosioekonominya berbanding dari pribumi sendiri.Sesiapa yang berkesempatan pergi ke Kawasan Telupid(saya pasti di mana2pun keadaannya serupa)anda akan melihat betapa PATI ini hidup mewah dengan rumah besar, kereta besar dan duduk pula di tanah yg diwartakan sebagai Hutan Simpan. Di sana juga kita akan melihat rumh2 penduduk pribumi yang tak ubah seperti rumah2 di ladang sahaja tarafnya jika dibandingkan dengan rumah2 PATI ini. Siapa yang kuasai pengangkutan di Sabah (Bas-Bas Express,kereta2 sewa dgn permit Seluruh Sabah) Saya berani katakan tidak sampai 20% yang dimiliki oleh pribumi.Saya sendiri tak sanggup fikir dan bayangkan nasib negeri dan generasi pribumi pada 30 thn akan datang ini. Yg jelas amat kabur. Siapa yg bersalah dalam hal ini??? Tak perlulah saya berpanjang lebar tentang siapa mereka,pribumi,pemimpin yg memahami sejarah dan senario politik sabah pasti ada jawapannys.

    ReplyDelete

Dari Lensa Malaikatsesat

Dari Lensa Malaikatsesat
Indahnya alam maya ku...

Cerita Aku Dan Alam Semulajadi...

Cerita Aku Dan Alam Semulajadi...
Tenom, 2010

Pengunjung yang dikesan dari serata dunia...

Arkib Blog Ini