Jom kita sembang-sembang..


widget sembang percuma @ ShoutMix

Monday 23 June 2008

3000cc LAYAK TUNTUT REBET : LANGKAH BIJAK KERAJAAN PERSEKUTUAN.

Keputusan melonggarkan had syarat kelayakan menuntut rebet minyak bagi kenderaan sehingga 3000cc di Sabah dan Sarawak merupakan satu tindakan bijak dan saksama kerajaan persekutuan. Keputusan ini diumumkan oleh Perdana Menteri sebagai keputusan sebulat suara di kabinet, dengan mengambil kira alasan-alasan tertentu. Antaranya ialah mengambil kira:

1. Bentuk muka bumi Sabah dan Sarawak yang bergunung-ganang memerlukan penggunaan kereta 4x4.
2. Keadaan jalinan jalan rayanya yang walaupun semakin baik berbanding beberapa tahun yang lepas, tetapi 80% saya kira masih daif.
3. Kecenderungan penduduk Sabah dan Sarawak untuk membeli jenis kereta 4x4 (pick up/double cab) agar sesuai digunakan dalam keadaan 1 dan 2 di atas.

Entah di mana silapnya, keadaan berbeza di Sabah dan Sarawak ini hampir-hampir terlepas pandang oleh kerajaan dalam soal agihan rebet subsidi minyak. Namun syukurlah, nasib pengguna di dua negeri ini akhirnya mendapat kesaksamaan. Siapa master mindnya? Tidak pastilah. Tetapi jika ini adalah hasil daripada pandangan bernas dan penuh tanggungjawab ahli-ahli parlimen Sabah dan Sarawak (tidak kira dari mana-mana parti pun..), anda memang layak mendapat pujian dan sanjungan. Tahniah kerana berjaya membuktikan peranan anda sebagai wakil rakyat Sabah dan Sarawak. Inilah sebenarnya yang diharap-harapkan oleh seluruh rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak, yang mana telah mempertaruhkan kepercayaan dan undi mereka kepada wakil-wakil rakyat bergelar AP yang menang dalam pilihan raya ke 12 baru-baru ini. Kepada wakil-wakil rakyat yang berasa dirinya belum memainkan peranan menyuarakan suara dan aspirasi rakyat, sedar-sedarlah diri dan kedudukan. Anda pasti tidak mahu dilabel sebagai Ahli Parlimen kayu, batu, pak turut, mak turut dan “yes bos!” akhirnya oleh penyokong anda sendiri.

Pastinya banyak pihak yang gembira dengan keputusan kerajaan ini. Namun saya pasti akan ada suara-suara sumbang yang tidak berpuas hati selepas ini, terutama rakan rakyat dari wilayah semenanjung. Walaupun sudah dijelaskan oleh Pak Lah sebabnya, namun pasti tidak cukup memuaskan hati semua orang. Lebih-lebih lagi timbul cakap-cakap politik yang mengatakan “Inilah ganti kepada royalti minyak yang dituntut Sabah”. Jadi, tidak akan adalah tambahan 15% royalti minyak lagi. Dengan harapan rakyat Sabah dan Sarawak (Khasnya Sabah..) akan tertutup mulutnya sejenak berkenaan royalti minyak. Akan kuranglah kerasionalan tuntutan royalti minyak ini untuk terus diperjuangkan oleh pemimpin-pemimpin politik Sabah. Amanlah sejenak kerajaan persekutuan kita.

Sama ada keputusan ini kekal atau bersifat sementara, tiada siapa yang tahu. Kenapa? Ramai yang semakin percaya dengan andaian bahawa cakap Pak Lah selalunya akan menjadi, tetapi amat sukar dijangkakan kerana banyak dolak-dalik dan rahsianya (bikin tidak serupa cakap). Keadaan ini semuanya bermula daripada cakap dolak-dalik Pak Lah ketika mengumumkan tarikh sebenar pembubaran parlimen sebelum pilihan raya lepas. Begitu juga dengan isu kenaikan harga minyak yang dilaksanakan serta-merta, bertentangan dengan kenyataan mereka sebelumnya bahawa sepatutnya harga minyak hanya akan naik selewat-lewatnya penghujung bulan Julai.

Ada pula “cakap-cakap angin” terbaru yang entah dari mana datangnya. Kononnya ada ahli-ahli parlimen Sabah dan Sarawak yang “kena kuarantin” di bawah kawalan ketat polis di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Lagi, kononnya ada juga ahli parlimen parti lawan yang “diminta bercuti” ke luar negara dalam tempoh tertentu, mulai minggu ini. Apa pun sebabnya berita angin ini tersebar, satu perkara yang pasti merunsingkan rakyat Sabah dan Sarawak iaitu hal ini ada kaitan dengan tindakan undi tidak percaya SAPP. Ahli-ahli parlimen BN yang dijangka akan melompat ke parti lawan dikenakan tindakan kuarantin supaya tidak boleh mengundi menyokong usul tidak percaya kepada kepimpinan Pak Lah. Demikian juga halnya dengan AP yang diminta bercuti sejenak ke luar negara itu.

Saya tidak kata berita angin ini benar (Jangan mudah percaya... namanya pun berita angin...), namun sudah ada yang risau tentang sejauh mana hasrat kerajaan untuk memberi keistimewaan kepada rakyat Sabah/Sarawak berhubung rebet minyak ini, dapat berkekalan. Mungkin jika undi tidak percaya ini tidak berlaku di Parlimen, maka kerajaan akan ada masa yang panjang untuk mengkaji semula kerasionalannya. Maklumlah, banyak pihak yang mungkin akan menuntut lebih-lebih selepas ini, atas alasan KESAMARATAAN.

Harap semua ini tidak benar dan hanya spekulasi semata. Kalau pun jumlah 15% tambahan royalti minyak tidak dapat dipenuhi kerajaan persekutuan, sekurang-kurangnya kelonggaran kelayakan mendapat rebet subsidi minyak (jika berkekalan..) bagi Sabah dan Sarawak sebegini akan meredakan sedikit rasa kurang puas hati rakyat di kedua-dua negeri ini. Dengan itu kerajaan akan beroleh ruang yang luas, dan masa yang panjang untuk memperhalus kaedah pengagihan royalti minyak antara negeri, secara saksama dan mengikut pertimbangan semasa.
BERSABAR SAHAJALAH, TETAPI JANGAN BERHENTI BERFIKIR.




Bingkisan Ikhlas,
Bentara Sakti.

No comments:

Post a Comment

Dari Lensa Malaikatsesat

Dari Lensa Malaikatsesat
Indahnya alam maya ku...

Cerita Aku Dan Alam Semulajadi...

Cerita Aku Dan Alam Semulajadi...
Tenom, 2010

Pengunjung yang dikesan dari serata dunia...

Arkib Blog Ini