Jom kita sembang-sembang..


widget sembang percuma @ ShoutMix

Thursday 19 June 2008

Wajarkah Tindakan Parti Maju Sabah (SAPP)?

Wajar kah Tindakan SAPP ?

Keputusan presiden Parti Maju Sabah (SAPP) untuk membuat sidang media secara terbuka pada 18 Jun 2008 di Penampang Sabah, adalah (pada hemat saya) satu tindakan “optimis” yang memerlukan keberanian dan kewarasan maksima untuk melakukannya. Syabas Datuk Yong Teck Lee ! Kerana sikap anda sepatutnya dijadikan contoh oleh puluhan malah ratusan ADUN dan AP di serata Negara Malaysia yang mempunyai niat dan aspirasi yang serupa, tetapi masih kecut untuk menzahirkannya.

Adalah tidak wajar menyalahkan tindakan SAPP ini. Sebaik sahaja khabar mengenainya mendapat liputan media, terdapat segelintir individu yang menyelar secara membabi buta tindakan SAPP sebagai pengkhianat,pembelot, berkepentingan peribadi, dasar orang kecewa dan bermacam-macam lagi.

Tindakan ini sebenarnya bukanlah dimulakan oleh SAPP dan bukan juga dimulakan oleh pembangkang. Yang nyata, kesan kekalahan teruk BN dalam pilihan raya yang lepas telah mengundang rasa resah keluarga UMNO sendiri. Seterusnya menimbulkan cadangan yang pada kulitnya berbeza warna, tetapi isinya sama putih dengan nada SAPP. Yang saya maksudkan di sini ialah nada Datuk Mukhriz Tun Mahathir yang mahu Pak Lah melepaskan jawatannya sebagai presiden UMNO, sekali gus mahu beliau melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri. Apabila cadangan dan tuntutan ini dilahirkan oleh orang UMNO sendiri, maka ini memberi inspirasi kepada parti-parti komponen yang lain khasnya dari Sabah dan Sarawak untuk menuntut sesuatu yang difikirkan haknya, sementara peluang masih terbuka luas. Apa lagi di kalangan parti lawan BN, berapi-apilah hasrat mereka untuk menukar wajar kerajaan Malaysia kerana ada minyak yang tersedia untuk disimbah.

Mungkin benarlah kata presiden SAPP, bahawa jika bukan sekarang, Sabah akan dilupakan semula selepas September tahun ini. Mengapa begitu? Terdapat beberapa ramalan sebabnya. Antaranya ialah:

a) Pak Lah dijangka akan serah kuasa kepada timbalannya menjelang September atau Oktober tahun ini. Dengan andaian, keresahan rakyat akan berkurangan. Senarai Menteri pun akan diberi nafas baru. Maka dasar berubah, keutamaan pun akan berubah.

b) Menjelang September atau Oktober, dengar khabarnya kemungkinan akan berlaku pemilihan Majlis Tertinggi UMNO dan beberapa parti komponen BN yang lain. Maka berduyun-duyunlah peluang bergolek untuk direbut oleh orang lama dan baru, khasnya dari kalangan mereka yang selalu kehausan sebelum ini. Golongan inilah yang dikatakan banyak membuat tuntutan sekarang ini. Sama ada ikhlas atau tidak, bersungguh-sungguh atau sebaliknya... hanya mereka sahaja yang mengetahuinya.

c) Pemilihan untuk merebut jawatan atau kedudukan dalam parti itu dikatakan (buat masa ini..) semestinya banyak memihak kepada yang banyak menuntut ini. Maklumlah, ada isu besar yang sedang diperjuangkan. Isu itu pula macam pisang goreng panas yang sentiasa dicari-cari oleh kakitangan awam kerajaan menjelang jam 4.00 petang. Mungkin lepas dapat kedudukan nanti, belum tentu isu berkenaan akan terus diperjuangkan.

Namun yang lebih penting pada pandangan saya ialah, isu-isu Sabah yang dijadikan sebagai sandaran SAPP untuk menyokong usul undi tidak percaya kepada kepimpinan Pak Lah di Parlimen nanti. Saya tertarik dengan isu Kemiskinan Sabah, royalti minyak dan Kebanjiran Warga Asing Tanpa Izin di Sabah.

Kemiskinan di Sabah sebenarnya memang sangat nyata berbanding negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu. Ini disokong sendiri oleh kajian pihak-pihak berwajib di negara ini. Pada tahun 1997 peratusan kemiskinan di Sabah ialah 16.5% iaitu ketiga tertinggi selepas negeri Kelantan dan Terengganu. Statistik penduduk miskin negeri Sabah yang dibentangkan di Parlimen pada tahun 2007 (DN 10.12.2007), mencatat jumlah 21,566 (ribu), iaitu yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain di Malaysia. Kelantan di tangga kedua dengan catatan jumlah 14,326 (ribu). Dalam ucapan Perdana Menteri Malaysia (Pak Lah) sempena ULANGTAHUN HARI KEPUTERAAN SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG bertarikh 07/06/2008 di Istana Negara pula, dimaklumkan peratus kemiskinan di negeri Sabah hanya menyusut 0.5% kepada 16.0%. Walaupun terdapat sedikit penyusutan, namun masih lagi yang tertinggi di Malaysia.

Kemiskinan di negeri Sabah ini hampir meliputi semua perkara seperti Ekonomi, Prasarana, Pendidikan dan banyak lagi. Cuma rakyat Sabah tidak menyedarinya. Mungkin hanya segelintir (20%) penduduk Sabah yang mengetahui dan menyedari akan kepincangannya. 30% lagi tahu, tetapi tidak kisah atau tidak mahu mengakuinya kecuali terdesak oleh sebab-sebab tertentu. Selebihnya (50%) memang betul-betul tidak sedar pun kemiskinan ini, khasnya penduduk di luar bandar. Mengapa? Kerana masih ramai yang tidak berpeluang keluar dari kepompong negeri sendiri. Iaitu tiada peluang melihat sendiri dengan mata kepala mereka, betapa jauh bezanya tahap kemajuan di negeri-negeri Semenanjung Malaysia berbanding Sabah.


Kena lagi pula, (sekadar menyebut..) media elektronik negara ini banyak menayangkan kedaifan penduduk di serata negara melalui program TV(Contohnya yang terkandung dalam rancangan Bersama mu, Galeri Perdana, Wanita Hari Ini). Walaupun bukan semua rancangannya memaparkan tentang bukti kedaifan, tetapi kebanyakannya ,ya!) Ini disimpulkan secara umum oleh orang kampung (yang kebanyakannya hanya menonton saluran TV1 & TV2) bahawa “nasib kita memang serupa”.


Oleh yang demikian, sewajarnyalah pihak kerajaan persekutuan memberi keutamaan kepada Sabah dan Sarawak dalam soal agihan peruntukan dalam belanjawan tahunan negara ini, secara konsisten. Saya kira jumlah peruntukan inilah yang dimaksudkan dan cuba dituntut oleh SAPP (dalam alasannya..), iaitu menambah royalti minyak kepada negeri Sabah kepada 20 %, sebagaimana yang dipersetujui sebagai satu syarat yang terkandung dalam 20 perkara, ketika Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia 50 tahun yang lepas. Namun sehingga kini nilai itu tidak ditunaikan. Sebaliknya hanya diberi 5% setahun walaupun sudah banyak tuntutan untuk menaikkannya oleh pemimpin-pemimpin Sabah terdahulu.


Berkenaan isu kebanjiran warga asing tanpa izin pula, sepatutnya isu ini boleh diatasi (kalau tidak sifar pun, sekurang-kurangnya mencapai peratusan hampir sifar bilangannya..) sejak era pemerintahan Tun Mahathir lagi. Namun sehinggalah tampuk pemerintahan beralih tangan pun, masalah ini tiada tanda-tanda penyelesaian. Kena pula lagi timbul hasrat Pak Lah untuk menyerahkan kuasa kepada timbalannya (Najib Tun Razak) baru-baru ini. Masyarakat peribumi dan rakyat Sabah yang sah memanglah akan bertambah gelisah. Jika selama ini, isu tersebut sentiasa dipinggirkan dalam agenda utama kerajaan persekutuan, maka tidak mustahillah isu ini akan terus dilupakan lagi oleh kepimpinan yang akan datang. Maka ada kewajarannya juga SAPP menyalak bukit yang mungkin tidak akan berganjak pun, tetapi mungkin akan runtuh akibat gegaran apabila gajah-gajah, harimau-harimau dan “bigfoot-bigfoot” yang menghuninya bertempiaran lari mencari tempat perlindungan baru yang lebih selamat dan aman.


Rakyat Sabah sebenarnya mahukan penyelesaian mutlak terhadap isu warga asing tanpa izin di Sabah. Itulah senario tuntutan wakil-wakil rakyat dari Sabah tidak lama selepas pilihan raya selesai. Tidak apalah “tak dapat jawatan, sekurang-kurangnya dapat perhatian”. Tetapi lain di minta, lain pula yang diberi. Ketika berkunjung ke Sabah untuk merasmikan Rumah Terbuka Pesta Kaamatan di Sabah baru-baru ini, Pak Lah umumkan penyelesaian untuk mengatasi masalah kebanjiran warga asing tanpa izin ini. Sama ada ini idea “original” Pak lah, ataupun idea selamba barisan penasihatnya adalah tidak penting lagi setelah diumumkan. Yang pasti pengumuman itu mengundang reaksi “nano-nano” di kalangan rakyat Sabah khasnya pemimpin tempatan. Ada yang menyokong, ada yang berdiri di atas pagar, tetapi kebanyakannya tidak berpuas hati.


Apa tidaknya, cadangan Pak Lah untuk menambah lebih banyak Pusat Tahanan Sementara Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah dilihat hanyalah sebagai penyelesaian sementara. Tidakkah kerajaan sendiri maha mengetahuinya bahawa pusat-pusat tahanan sementara itu sebenarnya hanya akan mengundang lebih banyak masalah kepada negara, khasnya kepada negeri Sabah? Apa masalahnya?

1. Kos operasi yang ditanggung kerajaan untuk mengoperasi pusat-pusat tahanan tersebut sebenarnya merupakan satu pembaziran kepada wang rakyat. Apa tidaknya, warga asing tanpa izin yang ditahan mendapat makan minum percuma, perubatan percuma, keselamatan percuma, rumah percuma, elektrik percuma, air percuma dan macam-macam lagi yang percuma. Yang menanggung semua itu adalah rakyat Sabah/Malaysia yang membayar cukai. Daripada dibazirkan ke arah itu, Lebih baiklah digunakan wang itu untuk kepentingan dan kemajuan rakyat Sabah yang berstatus SAH dan PERIBUMI.


2. Bila ditambah pusat tahanan sementara, maka PATI makin suka. Mengapa? Sebabnya, mereka tahu bahawa memang sangat mudah untuk memasuki Sabah, tetapi SANGAT SUSAH UNTUK MENGHANTAR SEMULA MEREKA KE NEGARA ASAL. Di mana silapnya? Mereka tahu bahawa sistem kehakiman kita di negara ini menghadapi pelbagai macam kepincangan. Ambil satu contoh yang jelas; iaitu lambakan kes-kes sivil dan jenayah biasa yang dilakukan oleh warganegara Malaysia sendiri yang tertunggak bertahun-tahun tidak dapat diselesaikan (Ada yang mencecah puluhan tahun....). Nak menghantar balik PATI ke negara asal mereka bukanlah kerja sehari dua. Setiap PATI yang dimasukkan ke depot tahanan sementara itu akan dibuat pertuduhan di mahkamah dahulu. Jika ada kes dan tertuduh terus mengaku salah, maka “senang cerita”. Tetapi jika si PATI itu tidak mengaku, kenalah jalankan proses pendakwaan. Di sinilah masalahnya bermula apabila kes demi kes tertangguh. Jika tempoh 2 hingga 3 bulan (misalannya..)diperlukan untuk menyelesaikan pendakwaan terhadap seorang PATI itu di mahkamah, maka berapa lamalah agaknya tempoh yang diperlukan kerajaan untuk mendakwa 100,000 PATI yang ada di Sabah, sebelum dapat dihantar pulang ke negara asalnya?


3. Sementara menunggu untuk didakwa, tidak mustahil pelbagai masalah lain yang ditimbulkan oleh mereka (PATI). Antaranya menimbulkan rusuhan (seperti yang berlaku pada 15 November 2005 di pusat tahanan menggatal), mencemarkan alam sekitar, rasuah, memasarkan maklumat kepada pihak asing terutama media dari negara asal mereka (digunakan sebagai modal untuk memburuk-burukkan Malaysia) dan macam-macam masalah lagi. Ada sesetengah daripada mereka ini dapat meloloskan diri dan buat hal pula di luar dengan melakukan pelbagai jenayah. Maka dikerahkanlah tenaga Polis dan Kastam untuk mencari dan membawa PATI ini kembali ke tahanan. Bertambahlah pula kes di mahkamah yang pasti akan tertangguh lagi.

Banyak lagi yang boleh kita perkatakan tentang isu kemiskinan, royalti minyak dan kebanjiran warga asing di negeri Sabah yang dijadikan sandaran oleh parti SAPP untuk menyokong usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Pak Lah. Bagi saya, jika perkara itu benar dan perlu ditegakkan dan diperjuangkan, maka ada kewajarannya disokong. Tidak kiralah ia datang dari idea pihak pemerintah ataupun pembangkang.
Anda di luar sana juga perlu menyatakan pendirian anda sendiri dalam hal ini... demi kepentingan masa depan negara kita, khasnya negeri Sabah.

Akan berlaku kah nanti perubahan positif yang kita harapkan??
Biarlah idea ini berhenti sejenak di sini... jika perlu dikembangkan lagi... boleh saya panjangkan di lain kesempatan...




Bingkisan Ikhlas,
BENTARA SAKTI

















No comments:

Post a Comment

Dari Lensa Malaikatsesat

Dari Lensa Malaikatsesat
Indahnya alam maya ku...

Cerita Aku Dan Alam Semulajadi...

Cerita Aku Dan Alam Semulajadi...
Tenom, 2010

Pengunjung yang dikesan dari serata dunia...

Arkib Blog Ini