4 + 2 : Mampukah memberi yang terbaik untuk SABAH?
Kelibat 6 orang menteri dari negeri Sabah yang diberi peluang menduduki kerusi empuk dalam Kabinet Datuk Sri Najib Tun Razak amat membanggakan rakyat Sabah pada dasarnya. Apatah lagi 4 daripada mereka telah diberi peranan besar sebagai Menteri Penuh (berpotfolio), manakala 2 orang lagi diberi kepercayaan menjadi Timbalan Menteri. Mereka adalah seperti yang disenaraikan berikut:
Datuk Seri Shafie Apdal
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
Datuk Seri Maximus Ongkili
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi
Datuk Anifah Aman
Menteri Luar Negeri
Tan Sri Bernard Dompok
Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi
Tan Sri Joseph Kurup
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar
Datuk Lajim Ukin
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan
Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin
Timbalan Menteri Kesihatan
Datuk Liew Vui Keong
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Peluang telah diberi. Malah kewujudan ramai muka-muka menteri berpotfolio dari Sabah ini sendiri turut mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai, termasuk menteri-menteri yang kempunan menjawat jawatan menteri dari negeri-negeri Malaysia yang lain. Ada yang memandangnya sebagai positif, dan tidak kurang pula yang mencerca. Ini bukanlah asing sangat kerana dalam sejarah perlantikan kebinet demi kabinet di negara ini, tidak pernah (walau sekali pun..) wujud keadaan yang mana semua pihak akur dan akan berpuas hati.Itulah rutin dan kenyataannya.
Bagi rakyat negeri Sabah, apa yang lebih utama dan lebih penting untuk dicongak ialah... mampukah kewujudan 4+2 menteri negeri Sabah dalam Kabinet Malaysia 2009 ini membawa sesuatu yang lebih berkesan ke atas persoalan mengatasi kedaifan (di kebanyakan tempat), kemunduran, kekurangan, kelemahan dan kemiskinan fizikal serta penduduk negeri Sabah yang masih lagi meniti di bibir penduduk negeri ini. Malah sering dicanang-canang saban tahun dalam persidangan-persidangan parlimen, khasnya setiapkali perbahasan bajet tahunan berkumandang di Parlimen.
Ada pihak yang mengatakan, wajah-wajah ini adalah tidak ubah seperti surat khabar lama yang ditampal pada buku skrap bertajuk “One Malaysia” karangan Datuk Sri Najib Tun Razak. Benar atau tidak ? Bagi saya adalah tidak wajar membuat kesimpulan awal begini, sedangkan mereka baru sahaja dilantik. Belum pun memulakan tugasan yang pertama barangkali... Malah seperti juga barisan menteri kabinet yang lain, masih kekok dengan pelbagai peraturan baru... kereta baru... driver baru.. setiausaha baru... malah jadual rutin harian juga baru. Oleh itu adalah wajar mereka ini diberi ruang dan peluang untuk membuktikan kebolehan dan kemampuan sebenar mereka terlebih dahulu, baharulah rakyat dapat menilai dengan cara yang adil dan bertempat.
Tetapi apa yang menggusarkan rakyat Sabah sebenarnya ialah, ada di kalangan mereka ni yang telah dan pernah juga diberi peluang membuktikan kemampuan mereka sebelum ini. Banyak harapan menggunung yang disandarkan kepada mereka sebelum ini belum nampak hasilnya.lantaran itu, adalah tidak menghairankan jika ada suara-suara kritikan sumbang yang dilemparkan menjurus kepada (kemungkinan) keberangkalian untuk mereka mengulangi ketidakberkesanan dan ketidakcekapan mereka dalam perkhidmatan sebelum ini. Apapun, kita mengharapkan di bawah kepimpinan PM yang baru ini akan adalah perubahan dan perealisasian perjuangan yang jitu dan lebih bersungguh-sungguh YB 4+2 kita, dalam soal membela untung nasib rakyat negeri Sabah secara keseluruhannya, serta secara adil dan saksama.
Tahniah kepada YB-YB kita yang telah diberi ruang dan peluang ini. Peluang sebegini tidak selalunya datang bergolek. Tidak pula dijamin berapa lama ianya boleh bertahan dalam suasana tidak menentu politik Malaysia kini. Dalam kebanyakan masa, wakil-wakil rakyat Sabah perlu merayu, memujuk, merangkak malah bersujud kepada pihak kerajaan pusat terlebih dahulu sebelum mereka mendapat peluang yang sewajarnya. Oleh itu, biarlah perkhidmatan kita singkat (barangkali..) asalkan kita bersungguh-sungguh dan ikhlas melaksanakan tugas... serta dapat membuktikan bahawa kita adalah “wakil rakyat” yang “tulin” dan “penuh bertanggungjawab”.
Just Added on 14 April 2009 - Oupppsss.... rupanya ada seorang lagi wakil Sabah di dalam barisan kabinet 2009... wakil tunggal wanita. Maklumat ni baru dapat tahu dari rakan. Katanya, Datuk Rosnah ni sebenarnya dari Sabah juga-orang papar. Nampak gaya formula 4+2 tu sekarang sudah jadi 4+3.... Makin besar saiznya... makin power peranannya. Inilah yang diharapkan....
Updated on 15 April 2009 - Kepada rakyat Malaysia di sabah semua, nampak gaya ada lagi yang perlu dimasukkan dalam senarai menteri kabinet 2009 dari Sabah. Saudara Badadang mengingatkan saya tentang ini... tidak perasan pula Liew Vui Keong tu dari Sabah... sebab biasanya dia lebih dikenali sebagai V.K Liew di sini. Kita kini ada formula yang lebih seimbang : 4+4. Apakah manfaatnya mempunyai perwakilan yang besar di Kabinet 2009 ini? Bolehkah menghasilkan sesuatu yang lebih besar dan positif terhadap negara, khasnya negeri Sabah selepas ini?
Kata Malaikatsesat@BentaraShakti...
“alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.”
jika tidak...
“usah diuji dalamnya jeram, kelak terjatuh dapat penangan.”
