Jom kita sembang-sembang..


widget sembang percuma @ ShoutMix

Monday 13 April 2009

KABINET MALAYSIA 2009

4 + 2 : Mampukah memberi yang terbaik untuk SABAH?

Kelibat 6 orang menteri dari negeri Sabah yang diberi peluang menduduki kerusi empuk dalam Kabinet Datuk Sri Najib Tun Razak amat membanggakan rakyat Sabah pada dasarnya. Apatah lagi 4 daripada mereka telah diberi peranan besar sebagai Menteri Penuh (berpotfolio), manakala 2 orang lagi diberi kepercayaan menjadi Timbalan Menteri. Mereka adalah seperti yang disenaraikan berikut:

Datuk Seri Shafie Apdal Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah

Datuk Seri Maximus Ongkili Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi

Datuk Anifah Aman Menteri Luar Negeri

Tan Sri Bernard Dompok Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi

Tan Sri Joseph Kurup Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar

Datuk Lajim Ukin Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin Timbalan Menteri Kesihatan

Datuk Liew Vui Keong Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Peluang telah diberi. Malah kewujudan ramai muka-muka menteri berpotfolio dari Sabah ini sendiri turut mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai, termasuk menteri-menteri yang kempunan menjawat jawatan menteri dari negeri-negeri Malaysia yang lain. Ada yang memandangnya sebagai positif, dan tidak kurang pula yang mencerca. Ini bukanlah asing sangat kerana dalam sejarah perlantikan kebinet demi kabinet di negara ini, tidak pernah (walau sekali pun..) wujud keadaan yang mana semua pihak akur dan akan berpuas hati.Itulah rutin dan kenyataannya.

Bagi rakyat negeri Sabah, apa yang lebih utama dan lebih penting untuk dicongak ialah... mampukah kewujudan 4+2 menteri negeri Sabah dalam Kabinet Malaysia 2009 ini membawa sesuatu yang lebih berkesan ke atas persoalan mengatasi kedaifan (di kebanyakan tempat), kemunduran, kekurangan, kelemahan dan kemiskinan fizikal serta penduduk negeri Sabah yang masih lagi meniti di bibir penduduk negeri ini. Malah sering dicanang-canang saban tahun dalam persidangan-persidangan parlimen, khasnya setiapkali perbahasan bajet tahunan berkumandang di Parlimen.

Ada pihak yang mengatakan, wajah-wajah ini adalah tidak ubah seperti surat khabar lama yang ditampal pada buku skrap bertajuk “One Malaysia” karangan Datuk Sri Najib Tun Razak. Benar atau tidak ? Bagi saya adalah tidak wajar membuat kesimpulan awal begini, sedangkan mereka baru sahaja dilantik. Belum pun memulakan tugasan yang pertama barangkali... Malah seperti juga barisan menteri kabinet yang lain, masih kekok dengan pelbagai peraturan baru... kereta baru... driver baru.. setiausaha baru... malah jadual rutin harian juga baru. Oleh itu adalah wajar mereka ini diberi ruang dan peluang untuk membuktikan kebolehan dan kemampuan sebenar mereka terlebih dahulu, baharulah rakyat dapat menilai dengan cara yang adil dan bertempat.

Tetapi apa yang menggusarkan rakyat Sabah sebenarnya ialah, ada di kalangan mereka ni yang telah dan pernah juga diberi peluang membuktikan kemampuan mereka sebelum ini. Banyak harapan menggunung yang disandarkan kepada mereka sebelum ini belum nampak hasilnya.lantaran itu, adalah tidak menghairankan jika ada suara-suara kritikan sumbang yang dilemparkan menjurus kepada (kemungkinan) keberangkalian untuk mereka mengulangi ketidakberkesanan dan ketidakcekapan mereka dalam perkhidmatan sebelum ini. Apapun, kita mengharapkan di bawah kepimpinan PM yang baru ini akan adalah perubahan dan perealisasian perjuangan yang jitu dan lebih bersungguh-sungguh YB 4+2 kita, dalam soal membela untung nasib rakyat negeri Sabah secara keseluruhannya, serta secara adil dan saksama.

Tahniah kepada YB-YB kita yang telah diberi ruang dan peluang ini. Peluang sebegini tidak selalunya datang bergolek. Tidak pula dijamin berapa lama ianya boleh bertahan dalam suasana tidak menentu politik Malaysia kini. Dalam kebanyakan masa, wakil-wakil rakyat Sabah perlu merayu, memujuk, merangkak malah bersujud kepada pihak kerajaan pusat terlebih dahulu sebelum mereka mendapat peluang yang sewajarnya. Oleh itu, biarlah perkhidmatan kita singkat (barangkali..) asalkan kita bersungguh-sungguh dan ikhlas melaksanakan tugas... serta dapat membuktikan bahawa kita adalah “wakil rakyat” yang “tulin” dan “penuh bertanggungjawab”.

Just Added on 14 April 2009 - Oupppsss.... rupanya ada seorang lagi wakil Sabah di dalam barisan kabinet 2009... wakil tunggal wanita. Maklumat ni baru dapat tahu dari rakan. Katanya, Datuk Rosnah ni sebenarnya dari Sabah juga-orang papar. Nampak gaya formula 4+2 tu sekarang sudah jadi 4+3.... Makin besar saiznya... makin power peranannya. Inilah yang diharapkan....

Updated on 15 April 2009 - Kepada rakyat Malaysia di sabah semua, nampak gaya ada lagi yang perlu dimasukkan dalam senarai menteri kabinet 2009 dari Sabah. Saudara Badadang mengingatkan saya tentang ini... tidak perasan pula Liew Vui Keong tu dari Sabah... sebab biasanya dia lebih dikenali sebagai V.K Liew di sini. Kita kini ada formula yang lebih seimbang : 4+4. Apakah manfaatnya mempunyai perwakilan yang besar di Kabinet 2009 ini? Bolehkah menghasilkan sesuatu yang lebih besar dan positif terhadap negara, khasnya negeri Sabah selepas ini?

Kata Malaikatsesat@BentaraShakti...

“alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.”

jika tidak...

“usah diuji dalamnya jeram, kelak terjatuh dapat penangan.”

Life is too short... Heaven is too far to reach for... However, HELL IS REAL!

7 comments:

  1. Memang ada kebaikan dan keburukannya pabila begitu ramai menteri 'Sabahan' dilantik dalam kabinet kerajaan Malaysia pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang disenaraikannya baru-baru ini. Bukan sahaja Sabahan malah Sarawakian juga turut tidak ketinggalan mempunyai menteri yang agak seimbang jumlahnya berbanding jumlah sebelum kemorosotan prestasi UMNO (BN) di semenanjung Malaysia.

    Ketidakpuasan ramai pemimpin-pemimpin lama semasa dalam barisan Datuk Seri Abdullah Ahmad Bedawi yang tidak tersenarai dalam kem Perdana Menteri yang baru agak sumbang kedengaran. Rata-rata tidak berkeyakinan dengan kemampuan barisan PM baru kita untuk mentadbir negara serta untuk mengembalikan zaman kegemilangan Tun Mahathir disamping menyuntik keyakinan rakyat yang kini hampir-hampir pudar.

    Bagi saya perlantikan orang Sabahan dan Sarawakian adalah semata-mata mahu terus menambat hati rakyat yang memenangkan BN pada pilihanraya yang lalu disamping meneguk simpati untuk tidak berubah fikiran menyokong pakatan pembangkang yang semakin menjuarai Semenanjung Malaysia. Permintaan menteri-menteri dari sabah dan Sarawak untuk melobi lebih banyak jawatan dalam kabinet persekutuan seolah-olah satu tamparan hebat dan juga boleh diibaratkan sebagai suatu ancaman bagi Datuk Seri Najib sendiri.

    Jestru itu, kegairahan pemimpin-pemimpin BN Sabah untuk mahu duduk di KL dan kerusi empuk akhirnya berjaya. Bagaimana pula dengan kemampuan dan keupayaan sebenar menteri-menteri tersebut? Kita tunggu dan lihat dalam masa terdekat ini samada ada perubahan atau sebaliknya. Walaupun Timbalan PM ada mengatakan bahawa reformasi dalam kepimpinan baru BN (UMNO) akan mencecah 2 hingga 3 tahun untuk mengembalikan keyakinan rakyat tapi bagi saya ianya adalah seolah-olah alasan supaya pihak pembangkang dan rakyat keseluruhannya tidak kerap mempersoalkannya kelak.

    Apapun, saya percaya bahawa akan timbul pula kes-kes sensasi yang mengaitkan orang-orang kenamaan terutamanya Datuk Seri Najib tentang berberapa insiden/kes eksklusif dalam mahkamah seperti yang diuar-uarkan oleh pihak pembangkang sebelum ini. Kita tunggu dan lihat, tentunya PANAS.....

    ReplyDelete
  2. Jika di musim lalu 4 individu ini telah berjaya menunjukkan kecemerlangan dalam memperjuangkan maruah, sosio-ekonomi negeri dan penduduk tempatan Sabah, tak ada siapapun rakyat Sabah yang tak akan berasa bangga dengan perlantikan mereka. Perlantikan mereka dalam kabinet Malaysia 2009, penduduk tempatan Sabah seperti tak kisah sahaja... khasnya warga pedalaman Sabah. Mereka hanya mampu berkata... "makin kaya raya lah keluarga mereka, makin besarlah perut mereka.. kita pribumi nun jauh di Pedalaman ini itu..itu juga". Itu antara reaksi sebahagian orang kampung. Di kelangan mereka 4 muka ini cukup pula mereka kenali dari Ocoi sendiri. Tak hairanlah mereka lebih banyak dengar kisah2 politik dari ocoi. Penduduk daerah Tongod.. jika Tan Sri Bernard sahaja, mereka cukup kenali.. kerana Bernardlah yang mengumumkan status daerah penuh kepada Tongod yang sehingga kini keadaan pekannya amat menyeramkan (daif). Apapun tak ada yang perlu dibanggakan.( Time tu, barisan berhampas pulas pancing undi para pengundi Kuamut..so, tandaspun dinamakanlah sebagi bilik rehat, pondok usang dinamakanlah resthouse. Nama aja yang tukar. Dari sebuah perkampungan biasa kepada daerah penuh dengan hiasan seratus janji pembanggunan. Itulah Tan sri Berdnard yang penduduk kenali di sini. Datuk seri Maximus pula, org kg kenali dia sebagai pemimpin otak geliga dan berani, itupun ketika Datuk Seri masih dalam barisan pembangkang dahulu.Waktu ini org kg macam tak berapa kisah pula dengan pemimpin ini, malah macam mereka tak berminat dengar nama dia kerana Datuk seri ini macam sudah kena cabut taring kata mereka ... tak terdengar lagi terjehan2nya yang memperjuangkan kemiskinan rakyat pedalaman Sabah.Tan Seri Joseph pula, Ocoipun tak faham mengapa org pedalaman sebelah sini tak berminat tentangnya. Yang 3 orang lagi itu, penduduk UK (Ulu Kinabatangan)macam tidak berapa kenal dan tak banyak kommen pula. Apa yang Ocoi harapkan Datuk Anifah tetap lantang menyuarakan hak rakyat Sabah di Perlimen walaupun telah mendapat jawatan kerana itulah harapanya.

    Apapun adanya, sebagai rakyat Malaysia berkelahiran Sabah, kita harus berbangga dengan perlantikan menteri2 dari Sabah ini. Walaupun secara jujurnya Ocoi juga tidaklah berani pertaruhkan harapan yang terlalu tinggi terhadap individu2 ini, bukan tak menyokong, tetapi Ocoi suka melihat sejarah. Kita tahu siapa yang pegang kuasa politik di Malaysia. Kita tahu hukum karma politik di Malaysia. Kita tahu dampaknya jika kita menyalak lebih-lebih. Kita telah pelajari tren politik Malaysia.

    Apapun, sebagai rakyat Sabah, Ocoi mendoakan agar mereka ini dapat berbuat sesuatu yang akan terus dikenang oleh seluruh rakyat Sabah sehingga bila-bilapun. Berdoa agar mereka boleh muncul sebagai pemimpin yang kekal disebut sepanjang zaman kerana sumbangan,peranan dan pengorbanan... memertabatkan maruah, membanguankan laur bandar Sabah.

    ReplyDelete
  3. Saya setuju, tidak sepatutnya pelantikan ramai menteri penuh dari Sabah dan Sarawak dalam kabinet dilihat sebagai satu perubahan dan pembaharuan hakiki dalam pentadbiran D.S Najib Tun Razak. Memang ada keraguan tentang sejauh mana barisan kabinet akan dikekalkan. Tan Sri Muhyidin Yassin (TPM) semalam menegaskan bahawa masih ada beberapa perubahan barisan kabinet yang kemungkinan besar akan berlaku lagi, ekoran daripada desakan parti-parti komponen lain BN yang tidak berpuashati dengan komposisi perwakilan mereka dalam kabinet, selain disebabkan oleh proses penyusunan semula kementerian-kementerian tertentu yang masih serta akan dilaksanakan oleh D.S Najib Tun Razak. Silap-silap haribulan ada yang bakal digugurkan semula, ataupun ditukar potfolionya kelak... jadi, bagi saya ini belum masanya untuk duduk bersenang-lenang. Kerusi empuk yang tersedia masih boleh bertukar punggung.....

    Tentang Tan Sri Joseph Kurup (A.P Pensiangan), memang penduduk pedalaman kenal sangat dengan dia ni... tetapi dari sudut yang agak negatif. Rata-rata penduduk kampung di pedalaman sebenarnya sudah menunjukkan tanda-tanda muak dan tidak berkeyakinan lagi dengan Tan Sri ini.Kegagalan Tan Sri Kurup untuk membawa perubahan yang sepatutnya kepada kawasan Sook yang lama diwakilinya telah mencalitkan arang pada wajah reputasinya. Malah beberapa cubaan beliau untuk bertanding dalam pilihanraya DUN mahupun Parlimen sebelum ini membuktikan bahawa dia tidak lagi mendapat tempat di hati kebanyakan pengundi pedalaman. Namun nasib menyebelahinya apabila menang tanpa bertanding dalam PRU ke12 yang lalu. Jika tidak.... pengundi sahaja yang tahu ! Nasib beliau juga sekali lagi dibela apabila pihak Mahkamah memutuskan bahawa kemenangannya tidak terbatal, selepas rayuan dibuat.

    Benarkah, tiada unsur penyelewengan dalam kes Tan Sri Kurup ni..??? Saya kira umum (khasnya di kawasan Pensiangan..)lebih bijak dan ikhlas menghakimi sendiri kes Datuk Kurup ini, berbanding hakim yang telahpun menghakiminya sebelum ini....

    Apa pun, saya yakin bahawa masih ada peluang untuk Tan Sri Kurup untuk memadam rekod perkhidmatan yang tidak cemerlang sebelum ini jika dia melihat secara positif akan kedudukan dan kesempatan yang dia ada ketika ini.

    Inilah ruangnya... inilah masanya wahai Tan Sri Joseph Kurup (dan menteri-menteri kabinet dari Sabah yang lain...)untuk membuktikan diri sebagai wakil rakyat yang berintegriti dan bertanggungjawab terhadap pengundi dan kawasan yang diwakili, agar rakyat boleh memutihkan semula pandangan hitam mereka terhadap datuk-datuk semua... Bukannya mendabik dada dan berlagak sebagai "ayam jantan" yang hanya tahu berkokok galak di khalayak betina, tetapi tumpul tajinya!

    Yakinlah... anda boleh berubah ! Sabah Boleh Bah !

    ReplyDelete
  4. Saya pun tidak sabar mau tengok sejauh mana kehebatan menteri kita ni beraksi di pentas baru yg diterajui oleh PM baru Datuk seri Najib ini..

    Saya tidak berminat mau ulas kelemahan atau kelebihan barisan menteri sabahan ini..Namun sebagai penduduk sabah tidak kiralah yang di bandar, luar bandar atau pedalaman pastinya mengharapkan yang terbaik daripada pemimpin ini. Mereka umpama lidah kita dan mewakili suara hati kita diperingakat atasan. 'Ambil yg jernih,buanglah yg keruh' kita bagilah dorang ini peluang untuk membuktikan kredebiliti mereka seterusnya mengubah prospek negatif yang membelengu mereka.

    Nah..jadi terpulang pada mereka sama ada mau jadi menteri yg disanjung rakyat atau sekadar memahat nama dalam sejarah sebagai menteri yg 'gagal'.

    Berjaya dan berkesankah mereka? kita tunggu dan lihat sahajalah.. Walauapaun semoga berjaya dan tahniah buat mereka..

    ReplyDelete
  5. Tiga menteri sudah pun pernah menjawat jawatan dalam kabinet sebelum ini dan boleh dikatakan dah lama duduk di kerusi empuk persekutuan. Namun begitu apa yang saya lihat, belum ada yang mereka lakukan untuk Sabah yang boleh di banggahkan. Memang ada diantara tiga ini lantang berkata kata didepan wartawan TV di seberang sana namun pada hakikat nya suara mereka untuk mengutarakan masalah di sabah hampir tidak kedengaran di parlimen. Ada juga seorang YB yang suaranya sering kedengaran di parlimen untuk cuba mengetengahkan isu daripada Sabah namun suaranya lebih kepada penghias perbahasan malah ramai penduduk sabah menganggap YB ini sebagai tin kosong.

    Dua pemimpin pernah ditawarkan sebagai TM oleh kerajaan Abdullah namun YB ini menolak. Entah mengapa tawaran ini ditolak. Mengikut suara sumbang yang kedengaran, YB ini bermimpikan MP. Kini seorang daripada dua pemimpin ini telah mencapai impian nya dan diharap beliau akan mengutamakan kepentingan Sabahan. Tak tahu pula kalau YB ini diberi MP oleh Najib atas teket KM Sabah.

    Dipedalaman YB yang seorang ini memang sudah tidak diminati. Jika anda meminta pendapat daripada pengundi dikawasan YB ini, rata-rata mereka menolak pemimpin ini dengan berbagai alasan. Mungkin nasib menyebelahi beliau diatas kes menang tanpa bertanding PRU12. Tunggu penggal berakhir dan kita lihat samada pengundi akan memangkah beliau pada PRU13. Seandainya beliau tidak bijak menggunakan jawatan MP ini untuk kebaikan kawasan pedalaman dan Sabah khas nya, saya percaya ini akan menjadi yang terakhir untuk beliau duduk di kerusi empuk.

    Saya tak tahu apa kelebihan pada yang seorang ini. Beaufort tidak ada juga perubahan tetapi dapat pula beliau ini title MP. Harap beliau ini akan dapat membantu merialisasikan pembinaan jambatan pulau Labuan – sabah nanti.

    Satu-satu nya pemimpin wanita Sabah yang dilantik ialah Rosnah. Pemimpin ini tidak lah menonjol sangat di mata ramai namun di dalam parti, beliau salah seorang pemimpin yang disegani oleh putri.

    Seperti yang lain, saya juga tidak meletak kan harapan yang tinggi terhadap barisan 4+3 di atas. Ini kerana sejarah lampau telah membuktikan segala nya. Kita tunggu dan lihat saja. Jika tiada perubahan yang dibawa untuk Sabah dan Sabahan selepas mereka mendapat peluang ini, kita akan adili mereka pada PRU13 nanti.

    ReplyDelete
  6. Hehee.. nampak gaya semakin ramai pula Sabahan dalam Kabinet Malaysia 2009 ini.Dah jadi 4+4 nasib tak jadi 4X4 hehee.. Memandang kepada peranan Sabah dan Sarawak dalam siri penyelamatan maruah barisan nasional pada PRU yang lepas, situasi ini boleh dilihat sebagai sesuatu yang sepatutnya berlaku malah mungkin jumlah itu belum memadaai, mugkin sekurang2nya ada 10 orang. Namun dengan ramainya Sabahan dalam kabinet Malaysia belum menjanjikan apa-apa untuk negeri Sabah. Selain itu, apakah keadaan ini akan diterima dengan berlapang dada oleh menteri-menteri dari Semananjung? Atau apakah akan wujud satu blog kroni lagi? kita bukan tidak faham dengan semangat kesemenanjungan dan kemelayuan yang begitu tebal di hati para pemimpin di seberang sana.

    Apapun kita mengharapkan perubahan akan berlaku. Kita mengharapkan segala tangapan negatif kita terhadap politikus2 Malaysia ini akan berubah dan biarlah semua mereka menjadi idola rakyat Malaysia. Itu harapan kita,yang merealitikanya adalah mereka.

    Berbalik kepada wakil2 yang dilantik dari Sabah, berapa ramaipun mereka, harapan kita tetap satu iaitu pembangunan secara menyeluruh untuk negeri Sabah.Pembahagian hasil negara yang adil kepada negeri Sabah. Kita mengharapkan mereka yang dipilih ini tidak menjadi hiasan semata-mata, tidak menjadi Hang Tuah dalam cerita Sejarah Melayu tetapi jadi Hang Tuah moden dalam Sejarah Pembentukan Bangsa Malaysia.Bukan setia membabi buta (Yes Boss) sehingga sanggup membelakangkan kehendak rakyat. Kalau perlu biar jadi JEBAT. Jebat yang tidak bersenjatakan keris dan lembing, tetapi bersenjatakan semangat pembangunan untuk negeri Sabah.. "Alang-Alang menyaluk pekasam, Biar sampai ke pengkal lengan". Apapun.., jadi Jebat kah mereka? Jadi Tuah kah mereka? Jadi Hiasan dinding Kabinet Malaysia kah mereka? Jadi kerbau dicucuk hidung kah mereka? atau jadi jaguh kampung kah mereka? Kita tunggu dan lihat...

    ReplyDelete
  7. mampukah? belum pasti lagi sebab kerja harus dibuat. Terdapat ramai yang masih daif di luar sana terutama sekali dari pendalaman. Action speaks louder than words! uhuk uhuk

    ReplyDelete

Dari Lensa Malaikatsesat

Dari Lensa Malaikatsesat
Indahnya alam maya ku...

Cerita Aku Dan Alam Semulajadi...

Cerita Aku Dan Alam Semulajadi...
Tenom, 2010

Pengunjung yang dikesan dari serata dunia...

Arkib Blog Ini