Jom kita sembang-sembang..


widget sembang percuma @ ShoutMix

Saturday 17 January 2009

PPSMI : MENGAPA? DEMI SIAPA?

Tahun 2008 telah berlalu dengan kekalutan dunia pendidikan negara akibat polemik PPSMI yang sehingga kini belum nampak noktahnya lagi. Satu “persidangan meja bulat” telah diadakan di Putrajaya pada 26 Ogos 2008 lalu bagi membincangkan kewajaran pelaksanaan PPSMI (pembelajaran dan pengajaran Sains - Matematik Dalam Bahasa Inggeris). Difahamkan bahawa persidangan ini telah dihadiri oleh beberapa pihak yang sepatutnya mewakili pelbagai kumpulan masyarakat di negara ini termasuklah wakil parti-parti politik dan NGO. Penganjuran persidangan ini sepatutnya bertujuan untuk mencari kesepakatan mengenai pelaksanaan dasar PPSMI, tetapi dengar khabar sebaliknya persidangan ini menjadi “medan perdebatan” dan “perang mulut” di antara para peserta persidangan. Difahamkan juga bahawa pelbagai idea pro dan kontra yang telah diutarakan oleh para peserta yang sudah semestinya menghangatkan lagi isu yang telah sedia “hangat” ini. Apakah kesimpulan yang diperoleh? Akhirnya isu ini dikembalikan semula kepada pihak kerajaan ataupun lebih tepat lagi kepada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk memuktamadkannya.

Keputusannya nanti, sama ada harus diteruskan dasar PPSMI ini ataupun sebaliknya, kesannya akan tetap berbalik kepada generasi Malaysia yang masih berada di bangku sekolah ketika ini. Pandangan yang diutarakan para peserta meja bulat mengandungi pelbagai variasi sama ada dari pihak yang menyokong mahupun dari pihak yang membantah. Ini belum termasuk pandangan dari kumpulan yang berpendirian “atas pagar.” Sekali imbas, boleh dikatakan semua pandangan ini ada kewajarannya. Namun, yang mana satu kah pandangan yang sepatutnya akan dijadikan sebagai asas pertimbangan kukuh kerajaan/KPM untuk memuktamadkan pelaksanaannya bagi sesi persekolahan 2009 atau tahun selanjutnya?

PPSMI dikatakan menjadi dasar baru pendidikan Malaysia yang bertujuan untuk “memartabatkan lagi taraf pendidikan di negara ini di mata dunia”, selain melahirkan sumber manusia yang lebih kompetitif dalam pasaran kerja antarabangsa. Itulah asas pertimbangan awal yang dijadikan alasan oleh kerajaan untuk melaksanakan PPSMI sebenarnya. Inilah bukti kesungguhan kerajaan untuk mewujudkan sistem pendidikan yang “dinamik” serta berdaya saing. Segala-galanya akan dilaksanakan demi rakyat tanpa memilih keturunan, latar belakang mahupun negeri. Kita memuji dan menyanjung usaha proaktif yang berterusan dari kerajaan ini. Tidak dapat dinafikan bahawa sejak era Tun Abdul Razak lagi, dina mika pendidikan sememangnya sentiasa diutamakan, malah menjadi agenda utama dalam setiap bajet kerajaan. Dasar Pendidikan Kebangsaan yang telah dimulakan sejak sebelum merdeka lagi misalnya telah terbukti dapat mengangkat sistem pendidikan Malaysia ke satu tahap yang amat membanggakan, malah mampu memartabatkan bidang pendidikan kita di arena antarabangsa. Pada suatu ketika, beberapa buah universiti tempatan kita seperti Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pernah diiktiraf sebagai antara universiti yang terbaik dalam ranking universiti seluruh dunia.

Namun kemerosotan mendadak kedudukan universiti-universiti tempatan kita sejak akhir-akhir ini menjadi tamparan utama kepada sistem pendidikan di negara kita, khasnya kepada KPM sendiri. Pelbagai alasan yang diberikan bagi menghalalkan kemerosotan ini. Antaranya ialah termasuklah kekurangan pengambilan pelajar asing, kekurangan kajian-kajian saintifik yang bersifat sejagat, kelemahan dalam aspek pentadbiran, kelemahan kawalan kualiti dan banyak lagi. Namun yang amat menggusarkan kerajaan ialah alasan bahawa mahasiswa/mahasiswi yang dilahirkan oleh universiti-universiti tempatan kita adalah kononnya kurang kualiti dan tidak kompetitif dalam pasaran kerja antarabangsa. Ini disebabkan oleh lemahnya penguasaan bahasa Inggeris di kalangan mahasiswa/mahasiswi kita.

Lantas kerajaan mengambil langkah drastik dan dianggap dinamik dengan membuka lebih banyak IPT sama ada awam mahupun yang ditadbir oleh pihak swasta, dengan harapan akan dapat menawarkan lebih banyak kursus pengajian. Seterusnya akan memangkinkan persaingan yang sihat di kalangan IPT-IPT, selanjutnya akan melahirkan mahasiswa/mahasiswi yang lebih berkualiti. Adalah menjadi harapan kerajaan untuk dapat menarik lebih ramai pelajar asing memohon untuk belajar di IPT-IPT di negara ini dalam pelbagai peringkat pengajian, selain membuka lebih banyak peluang melanjutkan pelajaran serta peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia sendiri. Langkah kerajaan ini nampaknya hampir berjaya, tetapi dibelenggu pula oleh pelbagai masalah khasnya yang berkenaan dengan pengurusan, kawalan dan pemantauan. Selain itu sekali lagi faktor kelemahan penguasaan dalam Bahasa Inggeris di kalangan pelajar masih menjadi “duri dalam daging” yang menghambat harapan negara untuk melihat kejayaan dijulang dalam bidang pendidikan antarabangsa. Di mana silapnya? Apa lagi usaha yang belum diterokai?

Akhirnya dalam kekalutan ini, muncul idea-idea drastik, berani, futuristik dan sangat optimistik dari individu tertentu yang kemudiannya diajukan kepada pihak Kementerian Pelajaran. Itulah PPSMI yang sekarang ini menjadi topik perbincangan dan perdebatan hangat di kalangan pelbagai pihak di negara ini. Anehnya, idea ini tanpa diduga mendapat perhatian parlimen untuk diluluskan serta-merta dengan cara yang cukup mudah dan tergesa-gesa. Malah tidak sempat dibahaskan dengan teliti dan lebih terperinci di parlimen. Umum sebenarnya tahu bahawa tidak ada kajian khusus mengenainya sebelum ini. Justeru, apakah “aura” di sebalik idea “gila” ini? Tiada siapa yang tahu sebenarnya. Bukanlah bermaksud meremehkan idea ini. Bukan pula melabelkan idea ini sebagai tidak logik ataupun tidak boleh diterima akal. Malah ini tidak bermaksud menuduh individu yang mengutarakan idea ini sebagai tidak siuman, walaupun ada perkataan “gila” yang digunakan bagi menggambarkan idea pelaksanaan PPSMI ini.

Apa yang dimaksudkan sebenarnya ialah, idea ini adalah terlalu mencabar dan luar biasa (gila-gila) untuk dilaksanakan dalam sistem pendidikan kita, pada ketika generasi muda kita masih lagi tertatih-tatih dalam aspek penguasaan sains dan matematik, termasuklah Bahasa Inggeris sendiri. Malah di kalangan guru-guru sedia ada juga telah pun “dilentur sedari rebungnya” lagi untuk melaksanakan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa ibunda. Mengapa demikian? Antara sebabnya ialah, bagi menjayakan dasar kerajaan untuk mencapai nisbah 60:40 dalam pembahagian antara aliran Sains dan aliran Kemanusiaan. Namun sehingga kini pun dasar ini masih belum tercapai sepenuhnya. Malah amat payah untuk menghampirinya walaupun terdapat sekolah-sekolah di sesetengah negeri (barangkali..), khasnya di kawasan luar bandar melonggarkan syarat kemasukan murid ke aliran sains sehingga ke peringkat “paling longgar” sekalipun. Di sesetengah negeri, murid yang mencapai pangkat D dalam sains atau matematik kadangkala masih diterima memasuki aliran sains. Manakala sesetengah negeri yang lain meletakkan syarat yang ketat, iaitu sekurang-kurangnya pangkat B dalam subjek berkenaan.

Mengapakah perkara ini berlaku? Kerana nisbah bilangan murid yang masih lemah berbanding yang bijak dalam kedua-dua mata pelajaran ini adalah terlalu tinggi. Antara sebab utama yang dapat dikesan ialah, kegagalan murid menguasai dengan baik aspek-aspek kritikal dalam dua subjek berkenaan seperti konsep, analisis, fakta dan aplikasi ; bukannya masalah kegagalan bahasa. Itulah kenyataannya.

Berbalik kepada idea pelaksanaan PPSMI ini, banyak pihak berpendapat bahawa kerajaan sebenarnya seolah-olah menjadikan mata pelajaran sains dan matematik ini sebagai “batu loncatan” untuk meningkatkan penggunaan dan penguasaan Bahasa Inggeris. Tetapi, wajar kah “kerana sayangkan nila setitik, susu sebelanga dikorbankan?” Pada hemat saya, kepentingan bahasa Inggeris di era globalisasi adalah tidak dapat dinafikan. Sebenarnya kepentingan bahasa ini sama pentingnya dengan mata pelajaran Sains dan Matematik. Terdapat beberapa alasan yang mendorong saya menyokong kepentingan Bahasa Inggeris. Antara yang utama ialah faktor pengalaman lepas. Saya mungkin antara ibu/bapa yang berada di kalangan mereka yang telah menerima pendidikan yang mungkin “agak baik dan agak tinggi” (tidak bermaksud angkat masuk bakul dan angkat sendiri..). Berdasarkan pengalaman, kepentingan Bahasa Inggeris di peringkat Universiti dan maksud komunikasi dalam menjalankan tanggungjawab berkaitan profesion memang tidak dapat dinafikan. Atas keakuan inilah, sudah pasti saya tidak ingin melihat anak-anak saya menjadi yang lebih teruk dari saya dalam aspek penguasaan Bahasa Inggeris. Oleh itu, sedaya upaya saya akan pastikan tunjuk ajar, bantuan dan galakan berterusan kepada anak-anak untuk menguasai subjek Bahasa Inggeris walau dengan apa cara sekalipun. Pada masa yang sama, penguasaan mereka dalam mata pelajaran Sains dan Matematik juga sentiasa diberi perhatian dengan cara yang berbeza dengan subjek Bahasa Inggeris.

Namun, perlu diingat bahawa di luar sana terdapat lebih ramai ibu bapa yang tidak senasib dengan golongan ibu bapa seperti saya. Malah jika dapat digambarkan melalui nisbah, mungkin golongan ini mewakili 80% rakyat Malaysia. Rata-rata ibu bapa dari golongan majoriti ini adalah yang lemah dalam penguasaan bahasa Inggeris, termasuklah anak-anak mereka. Malah kesedaran dan perhatian mereka terhadap kepentingan bahasa antarabangsa ini juga sangat kurang. Ini adalah kerana bahasa ibunda masing-masing menguasai 90% persekitaran komunikasi dalam kehidupan mereka sehari-hari. Walaupun demikian, masih ramai dari kalangan anak-anak golongan ini yang mampu menguasai pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah, malah dapat mencatat keputusan yang peperiksaan awam dengan baik (ada kalanya mencatat keputusan cemerlang..) sebelum ini. Namun dengan pelaksanaan PPSMI, murid-murid dari golongan ini tidak lagi mempunyai pilihan untuk mencatat keputusan cemerlang sekurang-kurangnya satu atau dua daripada ketiga-tiga mata pelajaran tersebut. Ini adalah kerana murid-murid berkenaan akan menghadapi kesukaran menguasai mata pelajaran Sains dan Matematik yang lebih teruk dari sebelumnya, ekoran penggunaan Bahasa Inggeris dalam kedua-dua mata pelajaran tersebut. Benar atau tidak perkara ini? Jika berdasarkan kepada beberapa kajian yang dibuat oleh pihak tertentu yang mungkin prihatin tentang isu ini, didapati bahawa tahap penguasaan murid dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin merosot, walaupun mungkin meningkat sedikit dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris. Walaupun terdapat juga kajian yang melaporkan peningkatan pencapaian murid dalam mata pelajaran Sains dan Matematik yang dibuat oleh pihak KPM dan beberapa pihak lain, namun laporan ini dikatakan amat meragukan. Lantaran itu, dalam pelaksanaan PPSMI ini siapakah yang sebenarnya diutamakan? Golongan majoriti ataupun yang minoriti?

Pandangan saya ialah, negara kita merupakan negara yang sering mendabik dada sebagai negara pendukung kuat amalan demokrasi. Keadilan dan kebebasan adalah asasnya yang utama. Oleh itu kerajaan perlulah membela kedua-dua kumpulan ini. Mengapa? Hakikatnya kedua-dua kumpulan inilah yang memberikan undi pilihan raya mereka sehingga kerajaan berjaya dibentuk. Kumpulan minoriti yang saya maksudkan ini mungkin mempunyai banyak pilihan, sama ada untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah swasta atau pun pusat tuisyen bagi memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris berdasarkan faktor kesedaran dan kemampuan, tanpa mengorbankan Sains dan Matematik. Tapi bagaimana dengan ibu bapa dari golongan majoriti ini? Apa pilihan yang mereka ada? Aspek kesedaran – terlalu kurang. Aspek kemampuan – jauh sekali. Walaupun kerajaan memperkenalkan insentif khas kepada penduduk luar bandar iaitu bayaran khas bagi membolehkan ibu bapa menghantar anak-anak mereka menghadiri kelas tuisyen, namun itu sangat terhad. Insentif ini hanya diberikan pada peringkat sekolah rendah sahaja. Itu pun sering terganggu pelaksanaannya barangkali dek akibat birokrasi dan penyelewengan terancang di sana sini.

Sementara itu, pelaksanaan PPSMI setakat ini banyak mendapat sokongan dari golongan ibu/bapa atau masyarakat bandar serta segelintir masyarakat di pinggir bandar sahaja. Manakala ibu bapa yang datang dari kelompok masyarakat luar bandar rata-ratanya mengambil pendirian sama ada tidak bersetuju ataupun “atas pagar.” Jika ada yang bersetuju pun, pendirian itu banyak dibayangi oleh faktor-faktor lain khasnya yang berkaitan dengan persekitaran “politik kepartian” semata-mata. Pihak kerajaan pula memberi beberapa alasannya yang tersendiri. Antaranya yang utama ialah;

1. Kepentingan Bahasa Inggeris dalam persaingan globalisasi.

2. Kerajaan telah berbelanja jutaan ringgit bagi merintis projek ini.

3. Perlu dicuba dahulu dan lihat apa hasilnya menjelang 2010 atau mungkin 2013, dan selepas itu barulah dikaji semula.

Setiap alasan yang diberikan oleh kerajaan memang ada kebenarannya. Bahasa Inggeris penting dalam era persaingan global. Memang benar bahawa jutaan wang ringgit telah dibelanjakan untuk menyediakan guru-guru agar dapat menggunakan Bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik, melalui penganjuran pelbagai bentuk kursus. Ini termasuklah juga biaya percetakan risalah, kamus dan buku teks, penerbitan bahan bantu mengajar berbentuk interaktif serta insentif khas kepada guru-guru sains-matematik dan Bahasa Inggeris. Perlu diambil kira juga perbelanjaan pengurusan “luar duga” para pegawai yang mengurus pelaksanaan PPSMI di peringkat Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian.

Cuma seperkara yang kurang masuk akal ialah, alasan “Cuba dahulu : Kaji kemudian”. Pada peringkat awal sebenarnya tidak timbul pun alasan sedemikian. Namun apabila timbul terlalu banyak komentar dan desakan awam untuk mengkaji semula PPSMI, dan disusuli pula oleh penyataan GAPENA yang sedikit berunsur ugutan, barulah alasan ini diutarakan. Mungkin inilah yang menjadikan Kementerian Pelajaran kita nampak “kurang profesional” dalam hal ini. Mengapakah pihak kementerian tidak mengambil langkah mengkaji dahulu secara menyeluruh dan profesional cadangan pelaksanaan PPSMI ini sebelum diimplementasikan? Bukankah negara kita memiliki ramai golongan pakar dalam aspek pendidikan dan pentadbiran? Golongan ini (pada pandangan saya) sepatutnya boleh dibawa duduk semeja dengan pihak ibu bapa dan murid/pelajar (yang menjadi sasaran utama) bagi membincang dan memperhalus idea PPSMI ini terlebih dahulu. Sebaik-baiknya campur tangan “politiking” perlulah diminimumkan dalam hal ini. Malah dasar pendemokrasian pendidikan di negara kita sebelum ini sebenarnya seperti memberi isyarat bahawa rakyat di negara ini, khasnya para ibu bapa dan pelajar juga berhak untuk sama-sama menentukan sendiri hala tuju pendidikan masing-masing.

Senario ketika ini ialah, PPSMI telah pun menghampiri peringkat pertengahan pelaksanaan dan barulah disediakan “persidangan meja bulat” ; kononnya untuk mendapatkan pandangan semua pihak. Semua orang tahu dan sedar bahawa usaha ini walaupun baik, namun tidak kena pada waktunya. Banyak pihak tidak yakin bahawa persidangan ini akan membawa manfaat yang memuaskan. Persidangan yang telah diadakan baru-baru ini di Putrajaya dilaporkan tidak membawa penyelesaian muktamad terhadap isu PPSMI ini. Sesetengah pihak dengan sinis menganggap bahawa usaha ini adalah tidak lebih dari sekadar “melepas batuk di tangga” sahaja. Kenyataannya, selepas persidangan meja bulat itu keadaannya masih sama seperti sebelumnya. Pihak yang menentang masih tetap dengan pendirian “tidak menyokong”, manakala golongan yang bersetuju tetap berapi-api menunjukkan sokongan mereka agar PPSMI diteruskan. Cuma yang menariknya ialah, kita mendapat pandangan-pandangan bernas dari golongan profesional tentang apa pilihan yang sepatutnya harus diambil kira oleh pihak kerajaan selepas ini.

Antara tindakan-tindakan susulan yang telah dan wajar diambil pihak Kementerian Pelajaran ialah:

1. Dapatkan maklum balas daripada responden-responden yang mewakili golongan sasaran di seluruh negara dan segenap pelosok negeri ; bukannya hanya mengambil kira sesetengah kawasan yang tertentu sahaja. Pengumpulan maklum balas ini juga haruslah dilakukan secara profesional, menyeluruh dan penuh akauntabiliti.

2. Membuat kajian perbandingan pencapaian peperiksaan murid dalam 3 mata pelajaran berkaitan (Bahasa Inggeris-Matematik-Sains) dalam satu tempoh yang relevan ; selain mengkaji kesan ke atas pencapaian murid dalam lain-lain mata pelajaran.

3. Membuat kajian terhadap perkembangan dan permasalahan guru-guru yang dibebankan dengan tanggungjawab melaksanakan pengajaran PPSMI.

4. Membuat kajian perbandingan peluang persaingan di peringkat global, khasnya dengan negara-negara yang bukan meletakkan Bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi utamanya.

5. Membuat kesimpulan akhir terhadap semua hasil kajian secara profesional, adil, dan telus agar dapat diwujudkan situasi “menang-menang”.

Sekali imbas, langkah-langkah ini mungkin sukar, mengambil masa yang agak lama serta memakan kos yang agak banyak. Namun kesukaran di peringkat ini pada akhirnya akan mengurangkan kesukaran berpanjangan di masa akan datang. Soal kos, kos kajian barangkali tidaklah semahal kos pelaksanaan yang telah dibelanjakan kerajaan untuk pelaksanaan PPSMI setakat ini. Lagi pula, negara kita memang memperuntukkan sejumlah besar “wang rakyat” untuk tujuan penyelidikan (R&D) yang pada akhirnya akan dipulangkan semula kepada rakyat dalam bentuk “pembangunan pendidikan” yang mapan, terancang dan teratur serta membawa impak yang optimum.

Akhir sekali, difahamkan bahawa menteri yang bertanggungjawab (Datuk Hishamuddin) tidak hadir pada persidangan meja bulat baru-baru ini dan hanya mewakilkan dirinya kepada timbalannya iaitu Datuk Dr. Wee Ka Siong. Aneh ! Jika PPSMI ini adalah agenda besar dasar pendidikan negara yang terkandung secara tidak langsung dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan negara (PIPP), mengapakah pula persidangan ini diberi keutamaan nombor 2? Sebaliknya menteri pelajaran dilaporkan sedang berada di Norway pada ketika itu atas alasan “lawatan rasmi” berkaitan kapasiti beliau dalam PBB. Apa pun yang akan diumumkan oleh Datuk Hishamuddin kelak, sebenarnya akan menentukan kestabilan sosial, politik dan ekonomi di negara ini pada masa akan datang. Cuma harapan kita ialah, janganlah tersilap membuat keputusan kerana nanti “yang dikejar tak dapat, yang dikendong habis berciciran”.

SEKIAN.

Secebis Pandangan Ikhlas Dari

Bentara Shakti

Life is too short... Heaven is too far to reach for... However, HELL IS REAL!

1 comment:

  1. Hai MS..pada saya KPM bkn semakin bijak..hahaha..

    ReplyDelete

Dari Lensa Malaikatsesat

Dari Lensa Malaikatsesat
Indahnya alam maya ku...

Cerita Aku Dan Alam Semulajadi...

Cerita Aku Dan Alam Semulajadi...
Tenom, 2010

Pengunjung yang dikesan dari serata dunia...

Arkib Blog Ini